Sememangnya menjadi kegemaran kaum lelaki pada zaman
Rasulullah s.a.w. untuk mengambil bahagian dalam jihad. Kisah-kisah mereka
telah diriwayatkan dengan begitu banyak. Wanita-wanita juga tidak ketinggalan
dalam perkara ini. Mereka hanya menunggu-nunggu peluang berjihad, apabila ada
sahaja peluang makan mereka akan turut hadir.
Ummu Ziad r.a. berkata, “Kami enam orang wanita telah pergi
untuk mengambil bahagian dalam jihad semasa peperangan Khaibar. Apabila
Rasulullah s.a.w. mendapat berita mengenai kehadiran kami. Baginda s.a.w. telah
memanggil kami. Wajah Baginda s.a.w. didapati dalam keadaan marah. Baginda
s.a.w. bertanya, “Dengan keizinan siapakah kamu datang ke mari dan dengan siapa
kamu datang ke mari?”
Kami berkata, “Wahai Rasulullah, kami pandai menenun dan
kebolehan ini ialah satu keperluan jihad. Kami juga ada bekalan ubat-ubatan
untuk luka-luka. Jika tidak pun kami dapat membantu mujahidin dengan
membekalkan anak-anak panah. Kamu dapat merawat orang-orang sakit serta dapat
menyediakan sagun (tepung gandum atau barli yang digoreng) dan makanan serta
minuman yang lain kepada mereka.” Lalu Rasulullah s.a.w. membenarkan kami untuk
terus berada di situ .” [Abu Daud]
Keterangan
Allah s.w.t. telah mewujudkan satu semangat dan keberanian
di kalangan wanita pada zaman itu yang tidak pun dimiliki oleh lelaki pada
zaman ini. Lihatlah betapa keinginan mereka sehingga datang ke medan perang
bersendirian dan menawarkan diri mereka untuk melakukan berbagai-bagai tugas.
Ummu Sulaim r.a. menyertai peperangan Hunain sedangkan ketika itu beliau
hamilkan ‘Abdullah bin Abi Talhah r.a. Beliau sentiasa membawa senjata
bersamanya.
Rasulullah s.a.w. bertanya, “Senjata ini untuk apa?” Jawabnya,
“Sekiranya ada orang kafir menghampiri saya, saya akan menikam perutnya.”
Sebelum itu beliau juga menyertai peperangan Uhud dan beberapa peperangan lain.
Beliau merawat orang-orang yang cedera dan berkhidmat kepada orang-orang sakit.
Anas r.a.. berkata, “saya lihat Aishah dan Ummu Sulaim r.a.
bersungguh-sungguh mengisi air dalam bekas kulit lalu membawa bekas itu dan
member minum kepada orang-orang yang cedera. Apabila air itu habis, mereka
mengisi bekas itu semula.”