Friday, August 31, 2012

Abu Talhah r.a. Mewakafkan Tanah Beliau kerana Terlalai dalam Solat

Views


Suatu jetika Abu Talhah r.a. sedang bersolat dalam kebunnya. Seekor burung telah terbang. Oleh kerana pohon-pohon di kebun itu rending, burung itu tidak menemui jalan keluar dengan cepat. Burung itu berterbangan ke sana ke mari sambil mencari jalan keluar. Beliau terpandang burung itu. Oleh kerana pandangan itu, tumpuan hatinya beralih kepada burung itu dan mata beliau bergerak menurut burung itu.

Tiba-tiba beliau teringat akan solatnya dan beliau telah terlupa bilangan rakaat yang beliau telah kerjakan pada masa itu. Beliau begitu sedih kerana kebun itulah beliau terkena musibah tersebut yakni terlupa dalam solat. Dengan segera beliau pergi berjumpa Rasulullah s.a.w. dan menceritakan kisah yang sebenarnya. “Disebabkan kebun itu saya terkena musibah yang sedemikian. Oleh kerana itu, saya serahkan kebun ini untuk jalan Allah s.w.t. Tuan belanjakanlah kebun itu mengikut jalan yang tuan suka.”

Demikian juga telah berlaku pada zaman pemerintahan ‘Uthman bin Affan r.a. Seorang sahabat Ansari r.a. sedang bersolat dalam kebunnya. Pada musim itu buah tamar sedang masak di tandan. Disebabkan buah yang banyak dan berat, tandan-tandan itu tunduk ke bawah. Beliau telah terpandang tandan-tandan itu. Beliau gembira melihat tandan-tandan yang dipenuhi buah sehingga menyebabkan hantinya tertumpu kepada tandan-tandan itu.

Oleh kerana itu, beliau tidak ingat lagi bilangan rakkat yang telah berlalu. Kesedihan dan kerunsingan beliau begitu hebat sekali lalu beliau telah membuat keputusan nekad bahawa kebun itu tidk boleh dimilikinya lagi. Kebun itu telah menyebabkan musibah yang sedemikian menimpa ke atas beliau. Oleh sebab itu, beliau telah berjumpa ‘Uthman bin Affan r.a. Setiba di sana beliau pun berkata, “Saya ingin membelanjakan kebun ini di jalan Allah s.w.t. Lakukanlah apa-apa yang tuan suka.”

‘Uthman bin Affan r.a. telah menual kebun itu dengan harga lima puluh ribu dirham dan membelanjakan wang itu untuk kerja-kerja agama.

Keterangan

Inilah tahap keimanan pada sahabat r.a. Apabila terlalai dalam amalan yang begitu penting seperti solat, dengan segera mereka menyedekahkan kebun yang berharga lima puluh ribu dirham.

Shah Waliullah Dehlawi r.a.h. menulis kitab beliau al-Qaulul Jamil bahawa berdasarkan amalan salafussolehin, ahli tasawwuf mementingkan ketaatan kepada Allah s.w.t. lebih daripada segala sesuatu yang lain. Oleh kerana itulah para sahabat r.a. begitu malu apabila tumpuan hati mereka telah beralih sedikit kepada perkara lain.


Terima kasih membaca entry hafiz

Tuesday, August 28, 2012

Keislaman Bilal r.a. dan Penderitaan Beliau

Views


Bilal bin Rabah r.a. ialah seorang sahabat yang masyur yang sentiasa menjadi juru azan di Masjid Nabawi. Pada mulanya beliau ialah seorang hamba kepada seorang kafir. Kemudian beliau telah memeluk Islam. Oleh sebab itu, beliau telah diseksa dengan berbagai-bagai cara. Umaiyah bin Khalaf yang merupakan musuh Islam yang ketat akan membaringkan beliau secara terlentang di atas pasir yang panas membakar pada waktu tengahari semasa musim panas. Dia juga meletakkan batu yang besar ke atas dada Bilal bin Rabah  r.a. supaya beliau tidak dapat bergerak. Dia berkata, “Matilah kamu dalam keadaan ini. Jika kamu mahu hidup, tinggalkan Islam.”

Namun dalam keadaan itu pun Bilal bin Rabah r.a. masih berkata, “Ahad! Ahad!” Yakni Tuhan yang layak disembah hanyalah satu.

Pada malam hari, beliau diikat dengan rantai dan disebat dengan cemeti. Pada siang keesokan hari, beliau akan dibaringkan di atas permukaan tanah yang panas supaya luka-luka itu bertambah teruk agar beliau meninggalkan Islam kerana tidak dapat menanggung penderitaan itu lagi ataupun mati terseksa. Abu Jahal, Umaiyah bin Khalaf dan kadang-kadang orang lain bergilir-gilir menyeksa beliau. Setiap orang daripada mereka berusaha untuk menyeksa beliau sedaya mungkin sehingga mereka akan keletihan. Abu Bakar As-Siddiq r.a. melihat Bilal bin Rabah r.a. dalam keadaan demikian maka beliau membeli dan membebaskan Bilal bin Rabah r.a.

Keterangan

Oleh kerana orang Arab jahiliah ialah menyembah berhala, maka mereka mengatakan bahawa berhala juga ialah tuhan yang disembah. Oleh itu, Islam menentang amalan penyembahan berhala dengan mengajarkan tauhid. Inilah yang menyebabkan Bilal bin Rabah r.a. mewiridkan, “Ahad! Ahad!.” Inilah gambaran cinta dan rindu kepada Allah s.w.t. Kita lihat dalam cinta palsu (sesama makhluk) ini pun, apabila seseorang itu dicintai, dengan menyebut namanya sahaja pun merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Nama itu diulang-ulang tanpa sebarang faedah. Maka apa yang hendak dikatakan bagi tentang cinta kepada Allah s.w.t. yang memberi manfaat di dunia dan akhirat? Inilah yang menyebabkan Bilal bin Rabah r.a. sanggup menanggung walaupun didera dengan berbagai-bagai cara, dikenakan sekeras-keras seksaan, diserahkan kepada budak-budak nakal supaya beliau diarak di jalan-jalan dan lorong-lorong Makkah tetapi, “Ahad! Ahad!” tetap dilaungkan.

Dengan sebab semua keberkatan inilah beliau kemudiannya menjadi juru azan di Masjid Nabawi. Tugas untuk melaungkan azan sentiasa diserahkan kepada beliau sama ada semasa bersafar atau bermukim.
Setalah Nabi s.a.w. wafat, sukar bagi beliau untuk terus tinggal di Madinah dengan melihat tempat Baginda s.a.w. yang telah kosong. Oleh sebab itu, beliau telah berniat untuk menghabiskan saki-baki hidupnya dalam jihad. Lantaran itu beliau pun bertolak untuk menyertai jihad. Beliau tidak pulang ke Madinah untuk beberapa lama.

Pada suatu hari beliau telah bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. Baginda s.a.w. bersabda, “Bilal! Apakah yang menyebabkan engkau tidak pernah datang kepada saya?”

Setelah terjaga daripada tidur beliau terus pergi ke Madinah. Hasan dan Husain r.a. telah memohon agar beliau melaungkan azan. Permintaan daripada kedua-dua orang yang dikasihi bukanlah satu perkara yang boleh ditolak. Beliau pun mula melaungkan azan seperti pada zaman Nabi s.a.w. Sebaik sahaja suara beliau sampai ke pendengaran panduduk kota Madinah maka berhamburanlah air mata mereka. Sehingga wanita-wanita pun keluar dari rumah-rumah mereka dalam keadaan menangis. Setelah beberapa hari berada di Madinah belaiu pun pulang dan beliau meninggal dunia kira-kira pada tahun dua puluh Hijrah di Damshik.

Terima kasih membaca entry hafiz

Pencegahan Jenayah Pecah Rumah

Views

Bagaimana Jenayah Pecah Rumah Dilakukan?

1) Mengumpil mangga pintu/grill dengan pemutar skru atau objek-objek tajam.
2) Mengeluarkan cermin tingkap dengan 'jack' atau besi.
3) Memotong mangga ointu dengan alat pemotong/gergaji besi.
4) Mengalih genting bumbung/memecahkan siling rumah.
5) Memasuki melalui pintu/tingkap yang terbuka/tidak berkunci atau memancing/mengait melalui tingkap terbuka atau terdedah.
6) Menggunakan kunci pendua.
7) Menggunakan tong gas untuk memecahkan pintu grill/pintu-pintu/tingkap.

Langkah Pencegahan

1) Memasang alat keselamatan tambahan pada pintu utama seperti lubang  intai, rantai pintu serta menggunakan mangga dan selak keselamatan.
2) Sentiasa memasang/nyalakan lampu bila anda keluar dari rumah untuk memberi gambaran ada orang di dalam rumah anda.
3) Jangan tinggalkan sebarang nota uang boleh membantu pemecah rumah bertindak.
4) Minta bantuan dari jiran-jiran untuk mengawasi rumah anda semasa ketiadaan anda di rumah.
5) Pastikan pintu, tingkap dan pintu pagar berkunci sebelum meninggalkan rumah atau tidur.
6) Pasangkan sistem penggera keselamatan yang baik untuk rumah/premis perniagaan.
7) Kawasan rumah hendaklah sentiasa bersih dan lapang. Semak samun, rumpun pokok dan belukar boleh menjadi tempat persembunyian pemecah rumah/penjenayah.
8) Jangan sembunyikan kunci di bawah alas kaki, di dalam pasu bunga atau di atas kotak meter elektrik di luar rumah anda.
9) Simpan wang tunai di bank dan barang kemas anda di dalam peti simpanan keselamatan.
10) Gantikan semua kunci apabila kunci rumah anda hilang atau dicuri.
11) Laporkan ke Balai Polis berdekatan sebelum pergi bercuti atau meninggalkan rumah untuk tempoh lebih dari satu hari.

Tindakan Yang Perlu Diambil Sebelum Meninggalkan Rumah

1) Pintu, tingkap, ruang udara dan pagar berkunci.
2) Memasang kunci tambahan/mangga pada pintu, grill dan sebagainya.
3) Pastikan peralatan seperti mangga, penukul, besi atau sebagainya yang boleh digunakan untuk memecah masuk ke dalam rumah tidak terdapat disekeliling rumah.
4) Pastikan tiada barang berharga seperti wang, barang kemas, dokumen penting dan sebagainya terdapat di dalam rumah.
5) Pastikan langganan surat khabar dihentikan semasa ketiadaan penghuni.
6) Pasangkan lampu dalam rumah (jangan pasang lampu di luar rumah)
7) Pasangkan penggera keselamatan
8) Maklumkan kepada jiran
9) Maklumkan kepada polis


Terima kasih membaca entry hafiz

Monday, August 27, 2012

Kesyahidan Sumaiyyah dan ‘Ammar r.a.

Views


Sumaiyyah binti Khayyat r.a. ialah ibu kepada ‘Ammar r.a. Kisah tentang beliau telah pun berlalu. Sebagaimana suaminya Yasir r.a. dan puteranya ‘Ammar r.a. beliau juga telah menanggung berbagai-bagai penderitaan dan kesusahan demi kerana Islam. Namun demikian, cintanya yang sejati terhadap Islam yang telah bertunjang dalam hati tidak mengalami kekurangan walaupun sedikit.

Kadang-kadang beliau dibaringkan di atas anak-anak batu di padang pasir di bawah kepanasan matahari pada waktu tengahari. Kadang-kadang beliau dipakaikan baju besi dan dibiarkan berdiri di bawah pancaran matahari yang terik agar penderitaannya itu akan bertambah perit apabila baju besi itu kepanasan akibat pancaran cahaya matahari yang terik.

Sekiranya Rasulullah s.a.w. lalu di sisi mereka Baginda s.a.w. akan berpesan kepada mereka supaya bersabar dan Baginda s.a.w. juga menyampaikan janji syurga kepada mereka.

Pada suatu ketika, semasa Sumaiyyah r.a. sedang berdiri, Abu Jahal telah lalu di sisinya. Abu Jahal telah memaki hamunnya dan kemudian dalam keadaan marah Abu Jahal telah melembing kemaluannya. Disebabkan kecederaan itulah beliau telah meninggal dunia. Beliaulah orang yang pertama syahid dalam Islam.

Keterangan

Sepatutnya kita kagum dengan sifat sabar, tabah dan cekal yang ada pada seorang wanita. Rahsiana ialah apabila sesuatu perkara meresap ke dalam hati maka setiap sesuatu yang berkaitan dengan perkara itu akan menjadi mudah. Sekarang inipun masih boleh didengari tentang berpuluh-puluh kisah cinta yang menunjukkan kesanggupan mereka untuk mati demi cintanya. Walaubagaimanapun, sekiranya perngorbanan nyawa itu dilakukan di jalan Allah s.w.t. dan untuk agama Allah s.w.t. maka pengorbanan itu akan menjadi sebab kebahagian dan kemuliaan dalam kehidupan yang akan datang yang bermula selepas kematian. Sekiranya pengorbanan itu dilakukan untuk tujuan keduniaan maka dunia sememangnya telah terkorban malah akhirat juga turut binasa

Terima kasih membaca entry hafiz

Saturday, August 25, 2012

Penyertaan Ummu Ziad r.a. Bersama Beberapa Orang Wanita dalam Peperangan Khaibar

Views

Sememangnya menjadi kegemaran kaum lelaki pada zaman Rasulullah s.a.w. untuk mengambil bahagian dalam jihad. Kisah-kisah mereka telah diriwayatkan dengan begitu banyak. Wanita-wanita juga tidak ketinggalan dalam perkara ini. Mereka hanya menunggu-nunggu peluang berjihad, apabila ada sahaja peluang makan mereka akan turut hadir.

Ummu Ziad r.a. berkata, “Kami enam orang wanita telah pergi untuk mengambil bahagian dalam jihad semasa peperangan Khaibar. Apabila Rasulullah s.a.w. mendapat berita mengenai kehadiran kami. Baginda s.a.w. telah memanggil kami. Wajah Baginda s.a.w. didapati dalam keadaan marah. Baginda s.a.w. bertanya, “Dengan keizinan siapakah kamu datang ke mari dan dengan siapa kamu datang ke mari?”

Kami berkata, “Wahai Rasulullah, kami pandai menenun dan kebolehan ini ialah satu keperluan jihad. Kami juga ada bekalan ubat-ubatan untuk luka-luka. Jika tidak pun kami dapat membantu mujahidin dengan membekalkan anak-anak panah. Kamu dapat merawat orang-orang sakit serta dapat menyediakan sagun (tepung gandum atau barli yang digoreng) dan makanan serta minuman yang lain kepada mereka.” Lalu Rasulullah s.a.w. membenarkan kami untuk terus berada di situ .” [Abu Daud]

Keterangan

Allah s.w.t. telah mewujudkan satu semangat dan keberanian di kalangan wanita pada zaman itu yang tidak pun dimiliki oleh lelaki pada zaman ini. Lihatlah betapa keinginan mereka sehingga datang ke medan perang bersendirian dan menawarkan diri mereka untuk melakukan berbagai-bagai tugas. Ummu Sulaim r.a. menyertai peperangan Hunain sedangkan ketika itu beliau hamilkan ‘Abdullah bin Abi Talhah r.a. Beliau sentiasa membawa senjata bersamanya.

Rasulullah s.a.w. bertanya, “Senjata ini untuk apa?” Jawabnya, “Sekiranya ada orang kafir menghampiri saya, saya akan menikam perutnya.” Sebelum itu beliau juga menyertai peperangan Uhud dan beberapa peperangan lain. Beliau merawat orang-orang yang cedera dan berkhidmat kepada orang-orang sakit.
Anas r.a.. berkata, “saya lihat Aishah dan Ummu Sulaim r.a. bersungguh-sungguh mengisi air dalam bekas kulit lalu membawa bekas itu dan member minum kepada orang-orang yang cedera. Apabila air itu habis, mereka mengisi bekas itu semula.”


Terima kasih membaca entry hafiz

Anas bin Nadhr r.a. dalam peperangan Uhud

Views


Semasa orang-orang Islam mengalami kekalahan dalam peperangan Uhud ada orang yang menyebarkan khabar angin bahawa Rasulullah s.a.w. juga mati syahid. Berita yang begitu mencemaskan itu memberi kesan yang mendalam terhadap para sahabat r.a. Oleh sebab itu, semangat mereka bertambah lemah lagi.

 Ketika Anas bin Nadhr r.a. sedang berjalan, beliau ternampak satu kumpulan yang terdiri daripada beberapa orang Muhajirin dan Ansar termasuk ‘Umar dan Talhah r.a. Mereka semua dalam keadaan gelisah. Anas r.a. telah bertanya, “Apakah yang sedang berlaku? Aku nampak semua orang Islam dalam keadaan sedih dan gelisah.”

Mereka menjawab, “Rasulullah telah syahid.”

Anas r.a. lalu berkata, “Apa guna kamu hidup setelah ketiadaan Rasulullah? Ambillah pedang kamu. Ayuh! Kita maju untuk syahid.”

Anas r.a. sendiri telah menghunus pedang di tangannya lalu merempuh masuk ke dalam kumpulan orang-orang kafir dan terus berperang sehingga beliau gugur syahid. [Tarikul-Khamis]

Keterangan

Maksud Anas r.a. ialah kehidupan mereka tidak berguna lagi sekiranya tidak dapat melihat wajah Baginda s.a.w. Lantaran itu beliau telah mengorbankan nyawanya.

Terima kasih membaca entry hafiz

Friday, August 24, 2012

Orang yang Memperbanyakkan Solat Sunat

Views

Allah s.w.t. berfirman, “Sesiapa yang memusuhi waktu waliKu maka aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Tiada seorang pun dapat menghampiri Aku kecuali dengan apa-apa yang Aku telah fardhukan kepadanya. (Yakni, penghampiran kepada Allah s.w.t. paling banyak dapat dihasilkan dengan menunaikan segala amalan yang fardhu). Dengan perantaraan amalan sunat seseorang hamba itu akan berterusan dapat menghampiriKu sehingga Aku menjadikannya kekasihKu. Kemudian aku akan menjadi telinganya yang dia mendengar dengan telinga itu. Aku akan menjadi matanya yang dia melihat dengan mata itu. Aku akan menjadikan tangannya yang dia memegang dengan tangan itu. Aku akan menjadi kakinya yang dia berjalan dengan kaki itu. Sekiranya dia meminta sesuatu daripadaKu pasti Aku tunaikan dan sekiranya dia meminta perlindungan daripadaKu terhadap sesuatu pasti aku akan melindunginya.” [Jam’ul-Fawaid]

Keterangan
Maksud ‘menjadi mata dan telinga…..’ ialah penglihatan, pendengaran dan pergerakannya akan mengikut kesukaan Allah s.w.t. dan tidak ada satu perkara pun yang akan berlaku bertentangan dengan keredhaanAllah s.w.t.

Alangkah bertuahnya mereka yang mendapat taufik untuk memperbanyakkan amalan sunat setelah menunaikan amalan fardhu dan seterusnya mendapat kelebihan ini. Semoga Allah s.w.t. dengan limpahanNya mengurniakan kelebihan ini kepada saya dan semua rakan saya.



Terima kasih membaca entry hafiz

Amalan Nabi s.a.w. Ketika Ribut

Views

Aishah r.a. meriwayatkan bahawa apabila berlaku ribut dan taufan, akan zahir perubahan pada wajah Nabi s.a.w. Wajah Baginda s.a.w. akan menjadi pucat. Baginda s.a.w. akan berjalan keluar masuk dalam keadaan resah sambil membaca doa ini.

“Ya Allah, aku memohon daripadaMu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada dalamnya dan kebaikan yang Engkau kirim dengannya dan aku berlindung denganMu daripada keburukan angin ini dan keburukan yang ada dalamnya dan keburukan yang Engkau kirim dengannya.”

Apabila hujan mulai turun, kegembiraan mula kelihatan pada wajah Nabi s.a.w. Saya bertanya, “Wahai Rasul Allah, apabila melihat awan, semua orang akan bergembira kerana awan ialah tanda akan turun hujan, sebaliknya tuan kelihatan gelisah.”

Baginda s.a.w. bersabda, “Wahai Aishah, adakah aku boleh berasa yakin bahawa tidak ada azab bersama-sama angin itu? Kaum ‘Ad telah diazab dengan perantaraan angin. Apabila mereka melihat awan, mereka bergembira lalu berkata, “Awan itu akan membawa hujan untuk kami.” Sedangkan dalam angin itu ada azab.
(Durrul Manthur)

Firman Allah s.w.t.

“Maka apabila mereka melihat azab itu sabagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata, “Ini ialah awan yang membawa hujan kepada kita.” (Mendengarkan kata-kata yang demikian Nabi Hud a.s. berkata) “Tidak, bahkan itulah (azab) yang kamu minta disegerakan iaitu azab yang tidak terperi sakitnya. Yang menghancur leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya.” (Setelah azab itu menimpa mereka) maka mereka menjadi (punah-ranah) tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikian Kami membalas kaum yang berdosa.”
(al-Ahqaf : 24 & 25)

Keterangan
Inilah sifat takut kepada Allah s.w.t. yang ada pada diri Rasulullah s.a.w. Walaupun daripada sabdaan Baginda s.a.w. sendiri menunjukkan bahawa Baginda s.a.w. ialah ‘Saiyyidul-Awwalin-wal-Akhirin’ (yang bermaksud penghulu semua orang yang terdahulu dan terkemudian). Dalam kitab suci al-Quran pun ada ayat yang menyatakan bahawa Allah s.w.t. tidak akan mengazab umat ini selagi Nabi Muhammad s.a.w. ada bersama mereka. Sungguhpun Allah s.a.w. telah berjanji sedemikian namum apabila Baginda s.a.w. melihat awan hitam dan rebut, Baginda s.a.w. masih teringatkan azab yang menimpa kaum yang terdahulu kerana ketakutan yang mendalam terhadap Allah s.w.t.

Berdasarkan kisah ini, marilah kita melihat keadaan diri kita sendiri. Meskipun hampir setiap masa kita terlibat dengan dosa, namun selepas melihat gempa bumi dan pelbagai macam azab yang lain, kita tidak pun terkesan dengan azab-azab itu. Kita juga tidak menyibukkan diri dengan taubat, istighfar dan solat tetapi sebaliknya kita menyibukkan diri dengan pelbagai kajian yang sia-sia.



Terima kasih membaca entry hafiz

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...