Aishah r.a. meriwayatkan bahawa apabila berlaku ribut dan
taufan, akan zahir perubahan pada wajah Nabi s.a.w. Wajah Baginda s.a.w. akan
menjadi pucat. Baginda s.a.w. akan berjalan keluar masuk dalam keadaan resah
sambil membaca doa ini.
“Ya Allah, aku memohon
daripadaMu kebaikan angin ini dan kebaikan yang ada dalamnya dan kebaikan yang
Engkau kirim dengannya dan aku berlindung denganMu daripada keburukan angin ini
dan keburukan yang ada dalamnya dan keburukan yang Engkau kirim dengannya.”
Apabila hujan mulai turun, kegembiraan mula kelihatan pada
wajah Nabi s.a.w. Saya bertanya, “Wahai Rasul Allah, apabila melihat awan,
semua orang akan bergembira kerana awan ialah tanda akan turun hujan,
sebaliknya tuan kelihatan gelisah.”
Baginda s.a.w. bersabda, “Wahai Aishah, adakah aku boleh
berasa yakin bahawa tidak ada azab bersama-sama angin itu? Kaum ‘Ad telah
diazab dengan perantaraan angin. Apabila mereka melihat awan, mereka bergembira
lalu berkata, “Awan itu akan membawa hujan untuk kami.” Sedangkan dalam angin
itu ada azab.
(Durrul Manthur)
Firman Allah s.w.t.
“Maka apabila mereka
melihat azab itu sabagai awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka
berkata, “Ini ialah awan yang membawa hujan kepada kita.” (Mendengarkan kata-kata
yang demikian Nabi Hud a.s. berkata) “Tidak, bahkan itulah (azab) yang kamu
minta disegerakan iaitu azab yang tidak terperi sakitnya. Yang menghancur
leburkan segala-galanya dengan izin Tuhannya.” (Setelah azab itu menimpa
mereka) maka mereka menjadi (punah-ranah) tidak ada yang kelihatan melainkan
tempat-tempat tinggal mereka. Demikian Kami membalas kaum yang berdosa.”
(al-Ahqaf : 24 & 25)
Keterangan
Inilah sifat takut kepada Allah s.w.t. yang ada pada diri
Rasulullah s.a.w. Walaupun daripada sabdaan Baginda s.a.w. sendiri menunjukkan
bahawa Baginda s.a.w. ialah ‘Saiyyidul-Awwalin-wal-Akhirin’ (yang bermaksud
penghulu semua orang yang terdahulu dan terkemudian). Dalam kitab suci al-Quran
pun ada ayat yang menyatakan bahawa Allah s.w.t. tidak akan mengazab umat ini
selagi Nabi Muhammad s.a.w. ada bersama mereka. Sungguhpun Allah s.a.w. telah
berjanji sedemikian namum apabila Baginda s.a.w. melihat awan hitam dan rebut,
Baginda s.a.w. masih teringatkan azab yang menimpa kaum yang terdahulu kerana ketakutan
yang mendalam terhadap Allah s.w.t.
Berdasarkan kisah ini, marilah kita melihat keadaan diri
kita sendiri. Meskipun hampir setiap masa kita terlibat dengan dosa, namun
selepas melihat gempa bumi dan pelbagai macam azab yang lain, kita tidak pun
terkesan dengan azab-azab itu. Kita juga tidak menyibukkan diri dengan taubat,
istighfar dan solat tetapi sebaliknya kita menyibukkan diri dengan pelbagai
kajian yang sia-sia.