Tuesday, August 28, 2012

Keislaman Bilal r.a. dan Penderitaan Beliau

Views


Bilal bin Rabah r.a. ialah seorang sahabat yang masyur yang sentiasa menjadi juru azan di Masjid Nabawi. Pada mulanya beliau ialah seorang hamba kepada seorang kafir. Kemudian beliau telah memeluk Islam. Oleh sebab itu, beliau telah diseksa dengan berbagai-bagai cara. Umaiyah bin Khalaf yang merupakan musuh Islam yang ketat akan membaringkan beliau secara terlentang di atas pasir yang panas membakar pada waktu tengahari semasa musim panas. Dia juga meletakkan batu yang besar ke atas dada Bilal bin Rabah  r.a. supaya beliau tidak dapat bergerak. Dia berkata, “Matilah kamu dalam keadaan ini. Jika kamu mahu hidup, tinggalkan Islam.”

Namun dalam keadaan itu pun Bilal bin Rabah r.a. masih berkata, “Ahad! Ahad!” Yakni Tuhan yang layak disembah hanyalah satu.

Pada malam hari, beliau diikat dengan rantai dan disebat dengan cemeti. Pada siang keesokan hari, beliau akan dibaringkan di atas permukaan tanah yang panas supaya luka-luka itu bertambah teruk agar beliau meninggalkan Islam kerana tidak dapat menanggung penderitaan itu lagi ataupun mati terseksa. Abu Jahal, Umaiyah bin Khalaf dan kadang-kadang orang lain bergilir-gilir menyeksa beliau. Setiap orang daripada mereka berusaha untuk menyeksa beliau sedaya mungkin sehingga mereka akan keletihan. Abu Bakar As-Siddiq r.a. melihat Bilal bin Rabah r.a. dalam keadaan demikian maka beliau membeli dan membebaskan Bilal bin Rabah r.a.

Keterangan

Oleh kerana orang Arab jahiliah ialah menyembah berhala, maka mereka mengatakan bahawa berhala juga ialah tuhan yang disembah. Oleh itu, Islam menentang amalan penyembahan berhala dengan mengajarkan tauhid. Inilah yang menyebabkan Bilal bin Rabah r.a. mewiridkan, “Ahad! Ahad!.” Inilah gambaran cinta dan rindu kepada Allah s.w.t. Kita lihat dalam cinta palsu (sesama makhluk) ini pun, apabila seseorang itu dicintai, dengan menyebut namanya sahaja pun merupakan sesuatu yang menyeronokkan. Nama itu diulang-ulang tanpa sebarang faedah. Maka apa yang hendak dikatakan bagi tentang cinta kepada Allah s.w.t. yang memberi manfaat di dunia dan akhirat? Inilah yang menyebabkan Bilal bin Rabah r.a. sanggup menanggung walaupun didera dengan berbagai-bagai cara, dikenakan sekeras-keras seksaan, diserahkan kepada budak-budak nakal supaya beliau diarak di jalan-jalan dan lorong-lorong Makkah tetapi, “Ahad! Ahad!” tetap dilaungkan.

Dengan sebab semua keberkatan inilah beliau kemudiannya menjadi juru azan di Masjid Nabawi. Tugas untuk melaungkan azan sentiasa diserahkan kepada beliau sama ada semasa bersafar atau bermukim.
Setalah Nabi s.a.w. wafat, sukar bagi beliau untuk terus tinggal di Madinah dengan melihat tempat Baginda s.a.w. yang telah kosong. Oleh sebab itu, beliau telah berniat untuk menghabiskan saki-baki hidupnya dalam jihad. Lantaran itu beliau pun bertolak untuk menyertai jihad. Beliau tidak pulang ke Madinah untuk beberapa lama.

Pada suatu hari beliau telah bermimpi berjumpa Nabi s.a.w. Baginda s.a.w. bersabda, “Bilal! Apakah yang menyebabkan engkau tidak pernah datang kepada saya?”

Setelah terjaga daripada tidur beliau terus pergi ke Madinah. Hasan dan Husain r.a. telah memohon agar beliau melaungkan azan. Permintaan daripada kedua-dua orang yang dikasihi bukanlah satu perkara yang boleh ditolak. Beliau pun mula melaungkan azan seperti pada zaman Nabi s.a.w. Sebaik sahaja suara beliau sampai ke pendengaran panduduk kota Madinah maka berhamburanlah air mata mereka. Sehingga wanita-wanita pun keluar dari rumah-rumah mereka dalam keadaan menangis. Setelah beberapa hari berada di Madinah belaiu pun pulang dan beliau meninggal dunia kira-kira pada tahun dua puluh Hijrah di Damshik.

Terima kasih membaca entry hafiz

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...