Saya suka akan hari jumaat, dan bukan saya seorang sahaja
yang begitu. Kebanyakkan orang mengaitkan hari terakhir minggu bekerja ini
dengan perasaan lega, relaks, dan harapan hujung minggu yang menyeronokkan.
Pasti ada sesuatu yang istimewa mengenai hari yang kedatangannya diraikan ini,
sehinggakan sebuah rangkaian restoran sanggup menggunakan nama hari ini sebagai
nama perniagaannya.
Saya
juga meraikan kedatangan hari jumaat. Sesudah menghantar anak saya ke sekolah,
biasanya pada hari jumaat saya ke Starbucks, dan membelikan diri sendiri
secawan kopi yang mahal. Kemudian, saya tidak terus pulang. Sebaliknya saya
mencari dan mengambil jalan pulang yang memiliki permandangan terindah, iaitu
melalui taman hutan simpanan yang berdekatan. Beberapa kali dalam sepanjang
hari itu saya akan tersenyum ataupun tergelak sendirian tanpa sebarang alasan
lain, selain kerana nama hari itu bermula dengan huruf ‘J’ dan bukannya, ‘I’,
‘S’, ‘R’ ataupun ‘K’.
Apabila
saya mengambil anak saya pulang dari sekolah pada sebelah petangnya pula,
biasanya kami berdua bertepuk tangan dan bersorak, “Hore, hari jumaat!” Dalam
perjalanan pulang, kami dapat melihat bagaimana komuniti pekan kecil kami mula
bersiap-siap meraikan hujung minggu yang akan tiba. Kelihatan seolah-olah
seluruh dunia sedang meraikan kedatangan hari jumaat. Pada suatu hari, saya
pulang dari pejabat doktor dengan gembira apabila diberitahu penyakit yang saya
risaukan sudah hilang dan tahap kesihatan saya sudah bertambah baik. Mood baik
saya itu diperkuatkan lagi oleh cuaca yang baik, redup dan berangin.
Bunga-bunga yang sedang melakar indah dan kicauan burung. Tiba-tiba saya terasa
seperti mahu meraikannya, dan fikiran saya dipenuhi bau-bauan kopi yang harum.
Saya membisikkan perkataan, ‘Cappucino!’ dan terus memandu menuju kedai kopi
yang berdekatan.
Fikiran
saya memberontak. “Apa yang kamu sedang lakukan? Hari ini hari selasa! Kopi
hanya untuk hari jumaat sahaja!” TIba-tiba saya sedar betapa kelakarnya cara
pemikiran saya selama ini. Mengapa pula hari jumaat lebih istimewa berbanding
mana-mana hari lain? Mengapa kita perlu menghabiskan masa enam hari bersikap
serius semata-mata mahu meraikan hari yang ketujuh? Beberapa minit kemudian,
saya berjalan balik ke kereta saya dengan senyuman lebar dan secawan kopi
raspberry mocha di tangan.
Memang
ia kemenangan kecil, tetapi ia juga gambaran yang tepat perihal cara kebanyakan
kita menjalankan kehidupan kita. Kita menunggu dan menunggu masa yang sesuai
sebelum membenarkan diri kita menikmati masa yang dianugerahkan oleh Tuhan
kepada kita di bumi ini. Kita menunggu tamat pengajian di kolej, mendapat kerja
baru ataupun anak sudah membesar dahulu sebelum mahu meraikan hidup kita. Kita
menunggu kereta sudah habis dibayar, atau bersara dahulu sebelum mahu
membenarkan diri kita berseronok. Ketika menunggu itu kita membazirkan banyak
masa yang dianugerahkan oleh Tuhan dan kebahagian yang patut kita rasai setiap
hari. Alangkah baiknya sekiranya kita dapat meminjamkan ‘perasaan hari jumaat’
kita itu kepada hari-hari yang lain, yang kurang ceria, seperti hari isnin,
selasa, ataupun rabu. Sudah tentu hidup kita akan menjadi lebih bahagia.
Seronok
juga apabila melihat restoran-restoran T.G.I. Friday’s di seluruh dunia
beroperasi pada setiap hari, dan bukannya pada hari jumaat semata-mata!
Rangkaian restoran ini meraikan ‘perasaan hari jumaat’ itu setiap hari.
Bukankah kita juga patut bersikap begitu?