Jangan buat semak
Seorang isteri bercekak pinggang
melihat anak kecilnya membuat sepah di ruang tamu, dia menjerit: “Sudah! Cepat
kemas balik!” Anak perempuan kecil itu tergamam, tidak mengerti kenapa dirinya dimarahi. Suaminya keluar
dari bilik sebaik mendengar jeritan isteri. Dengan senyuman, dia menghampiri
isteri dan bertanya: “Kenapa?” Jawab isteri, dia berang kerana rumah bersepah.
“Sabar sayang,” tegur suami lembut.
“Ini tengah sabar, kalau tidak
sabar……sudah tentu saya cubit anak ini,” balas isteri.
Suami mengangguk, dia menggosok
belakang isterinya. “Sabar itu bukan menahan marah semata-mata, sabar itu
termasuk berfikir mencari jalan keluar terbaik daripada sesuatu masalah,” ujar
suaminya.
Si isteri mencebik lalu berkata:
“Abang cakap senang, cuba abang buat.”
Si suami melirik senyuman dan
mendekati anak kecilnya sambil berkata: “Mari, kita bermain kutip barang. Abi
kutip satu, kakak kutip satu. Siapa banyak kutip, dia dapat pahala. Mari!” ajak
si bapa.
Anaknya berasa hairan dengan
karenah si bapa. Bapanya tidak menunggu, dia mengutip mainan satu demi satu
dengan gembira. Si anak mula tersengih, dia terhibur melihat si bapa mengutip
mainan dan menyimpan ke dalam bekas. Akhirnya dia turut menyimpan barang mainan
itu ke dalam bekasnya walaupun dia tidak mengerti apa tujuan berbuat begitu. Si
suami memandang isteri dan berkata: “Anak tidak suka dipaksa, dia suak diajak
bermain sama-sama.”
Jom main hujan
Suatu hari, bapa yang sama pulang
daripada bekerja. Kebetulan anak perempuannya belum mandi. Bajunya kotor dan
wajahnya bersempudal kerana memakan aiskrim. Bapanya menggeleng kepala sambil
memberi arahan: “Cepat mandi! Pergi masuk tandas!” suaranya tinggi.
Anak yang baru pandai bercakap itu
menjawab: “Tak nak! Tak mahu mandi!”
“Nanti abi pukul!” ugut si bapa.
Anak berdegil. Isterinya muncul dengan senyuman.
“Abang….ingat lagi pesanan abang?
Anak tidak suka dipaksa tetapi dia suka diajak bermain sama-sama.”
Ibu menghampiri si anak. Sambil
menggosok kepalanya, ibu tersebut memujuk: “Kakak, mari kita main air hujan.
Lepas itu kita main sabun. Ada buih-buih dan belon. Mesti seronok. Mari ikut
umi mandi.”
Ibunya tersenyum manis. Si anak termangu melihat wajah ibu.
“Kalau kakak mandi dengan umi, nanti tubuh kakak bau harum. Wangi sangat. Mesti
Nampak comel macam puteri. Allah dan Rasul pasti saying kakak sebab kakak
comel!” pujuk ibunya lagi sambil berjalan ke bilik mandi.
Si anak segera berubah menjadi ceria: “Nak mandi dengan
umi!” Dia berlari mengikuti ibunya.
Jadi, apa pandangan awak tentang cerita ini?? comel bukan anaknya...hehe...